Inisiatif

Terkini
12/23/19
Isu
Air

Pencemaran Bekalan Air Di Semenyih

Pagi ini saya telah berbincang dan mendengar taklimat dari Air Selangor dan LUAS mengenai isu pencemaran Sungai Semenyih. Memandangkan kadar pencemaran masih belum mencecah 0 Ton pagi ini, saya telah mengambil langkah-langkah segera untuk menyelesaikan isu ini.

Pertama, pihak LUAS telah mengambil dua langkah untuk mencairkan pencemaran (dilution process) dengan menyedut air dari Kolam Tasik Idaman menggunakan pam air. Selain itu, air dari Empangan Semenyih juga telah dilepaskan ke Sungai Semenyih. Ini bagi mencairkan pencemaran.

Langkah seterusnya pihak Air Selangor telah menggerakkan 70 Lori Tangki Air, 16 Lori Tangki Jumbo,31 Tangki Statik serta 10 Pili Air Awam ke seluruh kawasan yang terlibat. Keutamaan adalah hospital di mana lori tangki jumbo telah digerakkan ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Seterusnya, penggunaan Kolam Terminal Bangi dari Loji Rawatan Air Langat 2. Bekalan air dari Langat 2 akan memenuhi Kolam Terminal ini untuk kegunaan para pengguna terutama di kawasan Hulu Langat. Seramai 55,564 pengguna dari 104 kawasan akan menerima bekalan air dari langkah ini.

Saya juga akan turun ke Kolam Tasik Idaman di mana proses pencairan pencemaran melalui pam akan dilaksanakan petang ini. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memantau keadaan semasa dan ambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikan isu ini yang melibatkan rakyat Negeri Selangor.


SELANGOR MAJU BERSAMA